Friday, July 11, 2008

Ada apa dengan Nafisatul Ilmi?



Nama Sayyidah Nafisah amat dikenali dan disanjungi oleh penduduk Mesir dan Makkah. Digelar Karamatud Darain atau ’Karamah dua negeri’. Karamahnya seakan mula menyerlah seawal kelahirannya apabila salam perdamaian Bani Abbasiy dihulurkan kepada Bani Alawiy pada malam kelahirannya. Rentetan hubungan dingin Bani Abbasiy dan Bani Alawiy bermula kerana perbezaan sikap mereka terhadap khilafah apabila Dinasti Bani Umawiy jatuh.

Sayyidah Nafisah puteri kepada Hassan al-Anwar bin al-Hassan bin Ali bin Abi Talib bin Abu Mutalib. Nasab ini jelas menunjukkan beliau adalah Aalul Bait Rasulullah SAW yang mulia. Beliau dilahirkan di Makkah pada 11 Rabiulawal 145H. Menjadi kebiasaan pada tarikh tersebut umat Islam khususnya Aalul Bait menyambut Maulidur Rasul SAW. Oleh itu kelahiran beliau dianggap sebagai simbol penerusan generasi Aalul Bait Rasulullah SAW.

Ayahandanya, Hassan al-Anwar adalah antara pemuka Aalul Bait dan Bani Hasyim yang disanjung kerana ketinggian ilmunya dan kegigihan berdakwah. Pada malam kelahirannya, dikatakan ayahandanya sedang memberikan kuliah tafaqquh di Masjidil Haram apabila khadamnya datang memberitakan isterinya selamat melahirkan seorang puteri. Sayyid Hassan terus melakukan sujud syukur. Beliau sebenarnya telah dikurniakan dua orang puteri sebelum Nafisah namun tidak pernah menunjukkan wajah hampa kerana belum memiliki putera sebagaimana sunnah nendanya.

Selesai sujud syukur, Sayyid Hassan menoleh ke arah khadamnya lalu berkata, ”Aku namakan puteriku ini Nafisah, khabarkan kepada bondanya.”Usai kata-katanya itu, para murid beliau serentak mendoakan, ” Ya Allah, jadikanlah dia Nafisatul Ilmi (pendukung ilmu yang agung)”.Sayyid Hassan dengan penuh syukur dan rendah diri mengaminkan doa ikhlas murid-muridnya.

Sejak detik itu gelaran Nafisatul Ilmi seakan sebati dengan perjalanan hidup Sayyidah Nafisah. Dikatakan juga Sayyid Hassan memilih nama itu kerana mengenangkan adindanya Nafisah yang telah lama berdakwah ke Mesir dan menetap di sana.

Ketika majlis ilmu pada malam yang sungguh barakah itu hampir berakhir satu lagi keajaiban berlaku. Tiba-tiba datang seorang utusan Khalifah Abu Jaafar al-Mansur,
khalifah kedua Bani Abbasiy. Utusan itu membawa surat dan hadiah khalifah yang dikatakan berjumlah 20,000 dinar. Selesai membaca surat khalifah, Sayyid Hassan menangis. Beliau menjelaskan kepada khalayak yang hadir dengan nada pertanyaan, ”Telah tiba suatu ujian besar buatku pada malam aku amat berasa bahagia dengan kurniaan Allah SWT.

Aku telah dilantik menjadi menjadi Amir Madinatul Munawwarah.” Inilah kali pertama Bani Alawiy dan Bani Hasyim ditawarkan jawatan dalam pentadbiran Bani Abbasiy setelah lebih 20 tahun hubungan dingin.

Para murid dan khalayak yang hadir di9 Masjidil Haram pada malam itu menyokong Sayyid Hassan agar menerima tawaran itu. Walaupun hati mereka sedih kerana bakal kehilangan seorang pemimpin rohani dan guru yang hebat, mereka memandang jauh tentang kepentingan umat Islam. Pastinya penerimaan Sayyid Hassan akan menjernihkan hubungan sesama umat Islam.

Sejak itu membesarlah Sayyidah Nafisah dan adik-beradiknya di Madinatul Munawwarah. Peribadinya mengikut jejak ayahandanya yang zuhud dan cintakan ilmu. Biarpun seorang pentadbir bertaraf ketua negeri, Sayyid Hassan terus menyampaikan kuliah di Masjidil Nabawi. Beliau juga menghidupkan lebih banyak majlis ilmu selain menanggung kehidupan ulama di sekitar Madinah.

Nafisah tidak pernah cuai daripada mengikuti kuliah-kuliah ayahandanya dan ulama-ulama lain di Madinah termasuk Imam Malik bin Anas rhm. Hasil daripada kegigihannya, ketika masih belasan tahun telah menjadi rujukan penduduk Madinah khususnya kaum wanita. Kemantapan ijtihad beliau dalam fiqh wanita telah menarik telah minat bukan sahaja kaum wanita bahkan ilmuan-ilmuan besar kerana beliau juga bijak mengemukakan pendapat tentan isu-isu umat Islam umumnya.



Sejarah membuktikan hubungan Sayyidah Nafisah dengan Imam as-Syafi’i rhm. Yang sentiasa mengikuti kuliah beliau di Madinah. Imam as-Syafi’i juga memohon restu Sayyidah Nafisah sebelum mengebahkan buku tulisan beliau ’Perbezaan Pendapat Syafi’i dan Malik’ . Imam as-Syafi’i dan penduduk Madinah lebih senang membahasakan beliau Nafisatul Ilmi berbanding memanggil Sayyidah (puan) Nafisah sebagaimana panggilan biasa kepada para Aalul Bait.



Nafisatul Ilmi berkahwin dengan Ishak al-Mu’tamin bin Jaafar as-Shadiq, pemuda Bani Hasyim yang wara’ dan bijak berniaga. Menyedari kelebihan isterinya,Ishak tidak pernah menghalang Nafisatul Ilmi daripada menyampaikan kuliah. Bahkan beliau sanggup menghantar isterinya ke Mesir atas jemputan penduduk Mesir yang dahagakan ilmu beliau. Pasangan ini dikurniai dua cahaya mata, al-Qasim dan Ummu Kalsum. Al-Qasim dilantik menjadi Amir Madinah oleh Bani abbasiy menggantikan nendanya.

Selain ketinggian ilmunya, Nafisatul Ilmi juga kuat amalan agamanya dan sentiasa serius mengamalkan sunnah Rasulullah SAW. Beliau sentiasa berpuasa dan beribadah malam. Beliau pernah menunaikan haji dengan berjalan kaki dari Madinah ke Makkah kerana berpendapat itulah yang paling afdhal ketika menunaikan haji.

Doa Nafisatul Ilmi sentiasa makbul. Pernah seorang pemudi Yahudi yang lumpuh sejak beberapa lama memohon doa daripada beliau atas dorongan seorang sahabat Muslimnya. Tiba-tiba pemudi Yahudi itu mampu berdiri dan berjalan cergas setelah menyapu badannya dengan sisa air wudhu’ Nafisatul Ilmi. Peristiwa ini berlaku di Mesir.

Sayyidah Nafisah berangkat ke Mesir pada sekitar tahun 193H atas jemputan penduduk dan Gabenor Mesir. Beliau menerima jemputan itu setelah mendapat restu suaminya yang sanggup berkorban dengan berulang-alik ke Mesir demi amanah ilmu. Jemputan itu juga didorong oleh keinginan orang-orang Mesir untuk sentiasa berguru secara langsung dari Aalul Bait berikutan ibu saudaranya Sayyidah Nafisah Binti Zayd al-Ablaj telah kembali ke rahmatullah. Sambutan penduduk Mesir begitu hebat, seolah-olah mereka menganggap Nafisatul Ilmi seperti Mufti Mesir.

Sayyidah Nafisah sempat menyertai solat jenazah Imam as-Syafi’i ketika berada di Mesir. Dikatakan ketika Imam as-Syafi’i sedang menderita sakit buasir, beliau pernah meminta Nafisatul Ilmi mendoakan kesembuhannya Nafisatul Ilmi berpesan, perbanyakkan bertaubat. Imam as-Syafi’i memahami firasat Nafisatul Ilmi bahawa ajalnya semakin dekat.

Tidak sesiapa pun tahu bahawa pemergian Nafisatul Ilmi ke Mesir adalah perjalanan jauh beliau yang terakhir. Setelah mengalami sakit beberapa ketika, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir di rumah yang disediakan oleh Gabenor Mesir sebagai tempat beliau menyampaikan kuliah di Darbis Sibaa’. Ishak hanya tiba di Darbis Sibaa’ setelah isterinya menghembuskan nafas terakhir.

Nafisatul Ilmi lalu dimakamkan di Darbis Sibaa’ di sekitar makam ibu saudaranya yang juga bernama Nafisah. Makam Sayyidah Nafisatul Ilmi kini terletak dalam sebuah masjid yang dikenali sebagai Masjid Sayyidah Nafisah.




~Hidup mulia dengan ISLAM~

No comments: