Friday, July 25, 2008

Fikir sejenak?

Fikir sejenak?

-Bagaimana keadaan negaraku yang sedang kucar-kacir sekarang?

-Apa tindakan kepimpinan negara mengatasi kesulitan yang ada ini?

-Apa pandangan aku terhadap pemimpin-pemimpin negaraku?

Aku tiba-tiba rasa tersedar dari tidur apabila menatap kisah-kisah suka duka negaraku Malaysia yang sememangnya sedang kucar-kacir dan sedang diracuni barah kehancuran secara perlahan-lahan. Setiap hari aku dihidangkan dengan pelbagai kes-kes baru untuk ditatap. Selalunya setiap kes ini pasti akan dibincang hingga bertahun-tahun, dan akhirnya rakyat rasa muak dan kes tersebut akan diam begitu sahaja.

Dari pelbagai sumber yang aku dapat, seolah segala-gala yang berlaku seperti dirancang. Kemungkinan komplot sesuatu pihak untuk menjatuhkan pihak yang tidak digemari sebagai mangsa dengan menggunakan pihak lain pula yang diumpan sebagai pemangsa. Agak pening bila difikirkan namun itulah realitinya, Malaysia sedang berhadapan dengan masalah dalaman.

Kecilkan skop

Fikirkan sejenak?

-Bagaimana aku menguruskan tanzim kecilku?

-Apa tindakan aku sebagai kepimpinan untuk selesaikan masalah dalaman tanzim kecilku?

-Apa pandangan ahli bawahan terhadap kepimpinan?

-Apa yang aku inginkan sebenarnya dalam perjuanganku?

-Apa yang sedang aku lakukan?

Dari sudut tertentu, aku mungkin pernah berada dalam situasi kepimipinan serta memimpin halatuju sesebuah organisasi. Adakah organisasiku berada dalam keadaan yang stabil atau dalam keadaan tidak terurus? Kenapa perkara ini terjadi? Mungkin disebabkan mehnah yang melanda? Pihak pentadbiran terus menggasak perjuangan kami? Atau kerana sikap aku sendiri?

Aku nak ajak korang sama-sama fikir? Mengapa organisasi yang kita pimpin berada dalam keadaan yang lemah dan ahlinya yang lemau? Bagi pendapat peribadi aku, bukan dek kerana faktor tujahan luaran yang menyekat pergerakan organisasi walaupun ada kebenarannya tetapi faktor dalaman yang bersifat barah.

Mengapa begitu kenyataannya? Faktor dalaman antara penyumbang terbesar kepada kemusnahan sesebuah organisasi. Jika pemimipin-pemimpin yang menjadi tonggak tanzim gagal mengemudi organisasi, alamatnya gagallah sebuah kepimpinan dan hancurlah sebuah perjuangan.

Jom aku bawa korang renung satu analogi yang berkaitan. Bagi sebuah keretapi, bahagian utamanya adalah kepala gerabak keretapi yang berada dihadapan gerabak-gerabak yang lain dan akan ada seorang pemandu lokomotif yang mengendalikan pergerakan keretapi mesti berada di dalam kepala gerabak supaya dapat mengetahui bentuk landasan yang dilalui. Maka apa yang dapat aku simpulkan di sini ialah, pergerakan keretapi yang baik bergantung kepada kelancaran kepala gerabak keretapi yang melalui landasan terlebih dahulu (dikendalikan oleh pemandu.) Jika gerabak paling hadapan tergelincir dari landasan, maka tidak mustahil gerabak yang dibelakang akan turut tergelincir. Satu analogi lain yang paling jelas yang aku dan korang boleh lihat ialah sistem tubuh badan tidak akan dapat berfungsi jika sistem otak sendiri gagal berfungsi.

Maka tanzim kepimpinan sesebuah organisasi harus mengemudi tanzim dengan baik walaupun ada kalanya kita akan berhadapan dengan cabaran ahli yang memberontak dan sebagainya. Apapun sikap pemimpin adalah antara faktor terpenting yang harus diambil kira. Satu persoalan yang ingin dilontarkan disini, adakah aku pemimpin yang bersifat seperti dibawah?

-Aku tidak dapat mengawal emosi
-Aku mengambil keputusan terburu-buru (ada unsur emosi)
-Aku kurang menghormati pandangan ahli bawahan
-Aku terlalu banyak bercakap sehingga tidak memberi ruang kepada yang lain bersuara
-Aku jauh dari ALLAH sebenarnya
-Aku tidak bersikap profesional sehingga menganggu gerak kerja (jumud
dalam erti iktilat sebenar)
-Aku kurang membaca dan mengkaji
-Aku Kurang membuat pemerhatian dan bertukar-tukar pendapat
-Aku bersifat diktator cuma aku tak sedar
-Aku suka bertelagah
-Aku memandang tinggi diri sendiri Cuma aku tak sedar
-Aku tidak berbaik sangka sesama ahli Cuma aku tak sedar

Terlalu banyak sifat yang harus aku perbaiki. Hakikat sesebuah kepimpinan, ketua harus menguasai pengurusan organisasi tersebut. Sebagai ketua, aku mungkin mempunyai terlalu banyak idea dan pengetahuan berbanding yang lain. namun jika aku bersifat terlalu menguasai, ia bukanlah perkara yang baik dalam pengurusan sesebuah kepimpinan. Sebagai seorang ketua, aku harus meraikan pendapat orang bawahan terlebih dahulu apabila berbincang dan bukannya menjadi 'first speaker' bila setiap agenda yang baru dibentangkan. Jadilah pendengar yang baik namun setiap yang didengari harus dikaji dan dinilai sebelum dijadikan keputusan. Bayangkanlah, jika sebagai presiden dan timbalan presiden, aku terlalu banyak bercakap tanpa memberi ruang kepada yang dibawah, sedikit sebanyak aku akan membunuh daya keyakinan mereka untuk bercakap dan mengeluarkan pendapat. selain itu, aku juga akan membunuh daya kreatif pemikiran mereka kerana, hanya idea aku sahaja yang didengari setiap kali bermesyuarat. Jika aku adalah seorang ketua yang terlalu menguasai, sudah pasti banyak keputusan yang diambil berdasarkan apa yang aku sendiri cadangkan. Jadi nilai kembali diriku, adakah aku bersikap sedemikian?

Selain itu sebagai seorang kepimpinan, aku harus belajar dan mentafsir dari pengalaman. Aku perlu belajar mengkaji bentuk-bentuk kepemimpinan yang lalu memimpin, tapi aku tidak boleh bersifat stereotaip sahaja. Ada yang boleh aku ambil dari kepimpinan yang lepas namun aku harus mengolah agar sesuai dengan zaman aku memimpin. Bertindaklah sebagai pemimpin yang bijak. Apa yang penting, pupuklah sifat suka membaca dan mengkaji untuk menjadikan aku lebih kreatif. Terlalu banyak kisah sirah yang boleh dikaji dan diambil sebagai contoh. Aku harus berani untuk berubah dan mengubah. Aku boleh, jika aku ingin membina sejarah sendiri, namun biarlah ia sejarah yang baik untuk dikaji.

‘Tak susah untuk menjadi pemimpin dan tak susah untuk memimpin jika aku memberi ruang untuk diri aku bernafas dengan baik dan secara teratur’…. “Beri peluang kepada dirimu menjadi yang terbaik pada zamanmu"…

~Hidup mulia dengam ISLAM~

No comments: